Cikgu, Adakah Kami Boleh Bercita-Cita?
- Akademi Rohingya
- Mar 17, 2021
- 3 min read
Oleh: Nik Humaidi Nik Zulkarnine

Sekolah Islamiyah –pelajarnya tidak seramai sekolah harian. Setiap pelajar mesti dikenali oleh guru-guru di sekolah. Mereka – seperti anak-anak biasa, suka bermain, bergurau senda bersama kawan-kawan di dalam kelas dan suka berbual serta bercerita. Mereka juga punya cita-cita dan hasrat untuk membanggakan ibu bapa.
Jadi? Apa yang istimewa jikalau mereka juga dikhabarkan sama seperti kanak-kanak yang lain?
Status.
Ya betul, status mereka.
Setiap kali, diajukan soal cita-cita - jawapan mereka pelbagai. Ada yang mahu menjadi doktor perubatan, tak tinggal juga mahu menjadi penyaji di atas awan. Hanya jiwa yang syahdu dan ketar pada lidah untuk ujarkan kepada mereka bahawa taraf mereka mungkin tidak sama dengan anak-anak Malaysia lantas melengkapi nasib hidup mereka. Guru – mengiyakan setiap kata anak-anak supaya tiada siapa yang akan mengerti bahawa mereka sedang hidup dalam imaginasi.
Tapi, pendidikan itu percuma dan pendidikan itu untuk semua. Mereka bukan saja layak tetapi berhak untuk di-ilmukan. Semuanya – lelaki dan juga perempuan kerana anak-anak ini suka belajar. Cikgu Syahirah, koordinator Sekolah Islamiyah, sentiasa mengingat cikgu-cikgu yang lain untuk tidak meninggalkan anak-anak perempuan yang terpaksa berhenti sekolah kerana keperluan untuk ‘berkhidmat’ pada keluarga - agar terus mendapatkan bekalan pendidkan yang mecukupi. Sebetulnya, itu norma mereka – anak-anak yang sudah baligh akhirnya kembali menyorok dibawah dapur dengan harapan nanti ada lelaki yang bertandang untuk dikahwinkan.
Semua guru tahu dan akur.
Walau apapun yang terjadi, hak untuk di-ilmukan mesti diberi pada anak-anak perempuan ini. Menerusi artikel sebelum ini, Sekolah Islamiyah mampu untuk memberi peluang pada anak-anak ini untuk terus belajar. Hak pendidikan bukan saja untuk yang berharta dan berstatus saja namun juga untuk semua warga manusia di seluruh bulatan dunia. Tiada siapa yang ketinggalan. Hak perempuan dan lelaki untuk mendapat pendidikan yang sama perlu dipertimbangkan dan dipraktikkan. Hal ini untuk menyahut kepentingan untuk mengamalkan Sustainable Development Goals, SDG 5 iaitu Gender Equality yang mengfokuskan hak lelaki dan perempuan itu tidak berbeza dalam pendidikan dan seumpamanya.
Namun, tidak seperti pelajar di sekolah kebangsaan, mereka sudah pun dimomokkan dengan ramalan nasib di hujung hari oleh masyarakat tetapi – sikit pun tidak mematahkan semangat belajar yang menjulang tinggi anak-anak ini untuk terus memecut dengan momentum yang sama atau mungkin lebih daripada yang sebelumnya.
Anak-anak ini, suka aktiviti yang memerlukan mereka untuk mengolah dan merealisasikan apa yang di belajar di dalam buku teks kepada sesuatu yang boleh dilihat dan boleh dijamah akal. Ada satu hari, salah seorang guru memberikan satu kertas kosong yang diatasnya memerlukan pelajar ini untuk melukis rumah impian mereka. Rumah yang dilukis itu pelbagai – seperti hasrat mereka. Mereka bercerita itu dan ini berkaitan rumah impian mereka dan betul, mereka punya hasrat yang sangat murni yakni meningkatkan taraf hidup keluarga mereka.
Semasa PKPB tempoh hari, semua guru Sekolah Islamiyah bertungkus lumus menyiapkan bahan-bahan untuk anak-anak ini supaya mereka rasa learning experience yang berbeza. Hal ini lebih kepada untuk memujuk mereka supaya berasa lebih istimewa dan untuk biarkan mereka faham bahawa mereka juga ada sudut dalam masyarakat dunia. Modul-modul yang dititipkan setiap minggu itu, bukan saja berkisar soal apa yang buku teks paparkan namun soal nilai-nilai murni yang dititipkan agar anak-anak peroleh semuanya dalam satu masa. Tidak henti juga, guru-guru menyuapkan kata-kata azimat dan nilai-nilai pada semua warga Sekolah Islamiyah. Salah satunya, adalah untuk berbagi rezeki dan ditunjukkan sendiri oleh Cikgu Mardhiah, salah seorang guru di Sekolah Islamiyah yang tidak pernah jemu untuk berbagi rezeki pada anak-anak ini.
Suatu masa, pengurusan Sekolah Islamiyah yakin bahawa mereka juga ada tempat dan berjaya peroleh apa yang mereka gemburkan di tanah kehidupan mereka sekarang ini. Bermain dengan takdir Tuhan, perlu masa untuk semuanya bercantum menjadi suatu figura yang boleh dibanggakan. Doa yang tiada penghujung pada anak-anak kami di Sekolah Islamiyah agar terus menjadi manusia yang mandiri dan layak tempatnya di syurga nanti walau dibumi - tiada manusia yang berkongsi dan menerima malaikat-malaikat kecil ini.
Semoga terus semangat mengejar ilmu dan cita-cita yang suatu hari nanti akan terus lantang berbunyi. Tatkala itu, jangan lupa cikgu-cikgu di Sekolah Islamiyah dan jangan terus lupa menabur beras bakti di bumi Tuhan yang luas ini. Biarkan jasad di cerca namun hati - sentiasa Allah yang menjadi penjaganya.
Akhir, panggil semula kata-kata RA Kartini, ‘Tubuh boleh terpasung, tetapi jiwa dan minda harus terbang sebebasnya’.
**Artikel ialah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili organisasi secara keseluruhan




Comments