top of page
Search

Edisi 16 Kuntum Sayang: Mengatasi Situasi Penindasan

  • Writer: Akademi Rohingya
    Akademi Rohingya
  • Sep 10, 2021
  • 2 min read

Oleh: Ainina Sofia


"Hanya dengan pendidikan dan pendedahan yang baik, dapat membebaskan kita semua daripada kepercayaan sosial yang menindas, itulah asas kelas Kuntum Sayang." - Ainina

Selepas 16 sesi kelas Kuntum Sayang, saya mula menyedari cabaran utama sesi pembelajaran dan perkongsian di dalam kelas adalah kesukaran pelajar memahami terma-terma hak asasi manusia yang diperkenalkan. Bersama 9 orang pelajar dalam lingkungan umur 14 ke 16 tahun, maksud terma ‘diskriminasi’ dibincangkan selama satu jam dan 8 orang daripada mereka masih mempunyai kesukaran untuk memahami maksud terma ini. Hal ini membuatkan saya sedar satu hal bahawa tahap perkongsian saya perlulah lebih realistik dan lebih dekat dengan tahap pendedahan pelajar-pelajar saya. Kesedaran ini juga membawa saya kepada satu refleksi yang penting di sebalik kewujudan kelas Kuntum Sayang.


Berlandaskan dengan kepercayaan bahawa hak pendidikan adalah hak semua kanak-kanak, kelas Kuntum Sayang turut dijalankan dengan hasrat menyiapkan pelajar-pelajar ini dengan keadaan yang menanti mereka pada masa hadapan saat mereka mendewasa. Dalam situasi mereka dikekang untuk mendapatkan pendidikan sekolah rendah “primary” di sekolah komuniti berdekatan dengan tempat tinggal mereka, kelas Kuntum Sayang ingin mendedahkan pelajar kepada pendidikan tidak formal berkaitan pengetahuan am termasuklah hak-hak asasi tidak terkecuali perihal emosi dan seksualiti.


Status para pelajar sebagai pelarian di Malaysia meletakkan mereka dalam kumpulan rentan, budaya komuniti yang mengamalkan perkahwinan kanak-kanak juga tidak membantu dalam pembangunan mereka sebagai seorang kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan pendedahan yang lebih mengenai hal-hal yang sepatutnya dihadapi dan diketahui sebelum ‘dipaksa’ menjadi dewasa. Namun begitu, dalam usaha berkongsi pengetahuan yang dirasakan sesuai dengan para pelajar saya turut sedar bahawa mereka masih kanak-kanak yang keperluannya bermain dengan bebas dan hidup tanpa kegusaran.


Proses perkongsian hak kepada para pelajar Kuntum Sayang merupakan satu proses berkejar dengan waktu. Hari ini, ada pelajar yang menyatakan kerisauannya tentang kemungkinan bakal dikahwinkan setelah PKP tamat. Sebagai seorang individu dewasa yang konsisten berkongsi di dalam kelas bahawa setiap individu mempunyai hak untuk berkata “tidak” terhadap keputusan yang membuatkan diri tidak selesa, saya tidak mempunyai kuasa yang lainnya untuk memberhentikan keputusan waris pelajar itu. Saya dan guru-guru tidak mempunyai kuasa memberhentikan atau menetapkan keputusan yang menentukan kehidupan seseorang pelajar. Hanya dengan pendidikan dan pendedahan yang baik, dapat membebaskan kita semua daripada kepercayaan sosial yang menindas, itulah asas kelas Kuntum Sayang.


Untuk mengatasi situasi penindasan, manusia pertamanya harus mengenali secara kritis penyebabnya, kemudian bertindak merubah situasi itu dengan mencipta situasi yang baru – situasi yang memungkinkan terciptanya manusia yang lebih utuh. Semoga inisiatif pendedahan awal hak kepada para pelajar Kuntum Sayang telah memulakan proses mengatasi situasi penindasan, walau hasilnya belum benar kelihatan.


Ainina

Koordinator Kuntum Sayang


 
 
 

Comments


Call
T: +60 17-757 6502

Follow Us

  • Facebook
  • YouTube
  • Instagram

Sekolah Islamiyah

Address
16, 3, Jalan Mesra Niaga,

Taman Mesra, 

43000 Kajang,

Selangor. 

bottom of page