top of page
Search

Ulasan buku 'The Forty Rules of Love' : Shams of Tabriz sebagai epitome kemanusiaan

  • Writer: Akademi Rohingya
    Akademi Rohingya
  • Aug 6, 2021
  • 3 min read

Oleh: Syahirah Hamdan


There is no seeker among those who search for Love who has not matured on the way. The moment you start looking for Love, you start to change within and without.” – The Forty Rules of Love

Sudah lama saya melihat rekomendasi buku Elif Shafak ini. Beberapa bulan lepas, bila sahabat saya secara personal menyarankan buku yang sama, saya terus memasukkan buku dalam troli, dan voila, buku cinta ini sampai ke tangan saya dalam beberapa hari.


Melihat kulit buku ini seperti fiksyen cinta tipikal. Perempuan dan laki-laki di hadapan bangunan dengan seni bina unsur Islam. Adakah ini cerita cinta versi Islamik? Tak mungkin semudah itu. Sebab sahabat yang menyarankan buku ini bukan calang-calang pandangan dan falsafah hidupnya.


Maka saya memulakan bacaan. Bermula dengan Ella, ibu anak tiga di salah satu daerah di Eropah. Hidupnya sempurna materi. Suami yang lebih dari mampu. Rumah yang cukup serba serbi. Watak tipikal ibu yang cerdas, tip-top urusan domestik, memilih mengorbankan cita-cita dan keluarga adalah seluruh hidupnya. Berkelulusan Sastera Inggeris, Ella akhirnya memilih untuk menjadi pembaca-pruf sambilan, yang membawa kepada perkenalannya dengan penulis, Aziz, dan pengembaraannya menyelami ruang dunia Shams of Tabriz.


Keputusan mengisi masa lapang sebagai suri rumah ini mengubah seluruh kesempurnaan yang wujud, menimbulkan persoalan kepada Ella. Ada sesuatu yang lohong dalam hidupnya. Adakah dia bahagia?


Seperti yang saya katakan. Tidak. Ini bukan tipikal fiksyen percintaan. Bahkan, buku ini membawa saya, dan nanti ada, mengenal kemanusiaan.


Shams of Tabriz adalah satu watak yang sangat menyegarkan. Seorang Sufi yang seluruh hidupnya adalah kelana dan mengembara. Berpindah dari satu kota ke satu kota yang lain, berfikir dan melihat manusia. Shams punya satu kelebihan yang sentiasa mengejutkan watak yang bertemu dengannya. Shams boleh membaca manusia dan kelilingnya. Belum sempat orang di hadapan berkata-kata, Shams dengan mudah dapat meneka perkara yang difikirkan. Pembunuhnya sedang bersembunyi, Shams dengan tenang dapat meneka kehadiran mereka dan memulakan bicara. Mungkin ini yang dikatakan, ilmu orang alim-alim (bukan tipikal ustaz ya).


Tapi bukan itu yang menarik perhatian saya tentang nilai kemanusiaan Shams.

Dalam buku ini, saya kira kelebihan Shams menjadikannya sebagai manusia yang mempunyai kedudukan yang tinggi sekali. Membaca manusia, bukan biasa-biasa ya. Pun, Shams sentiasa tegas dengan hitam-putih. Baik ialah baik. Buruk kekal buruk. Adil harus ditegakkan. Tiada beza manusia di sisi Tuhan.


Pengemis disantuni walhal orang lain jijik dengan mereka. Pelacur dikecam, Shams pula melindungi mereka sedaya upaya. Shams boleh duduk bermain catur dengan pengembara yang dijumpai di jalanan. Ketajamannya berhujah bukan untuk merendahkan, tapi untuk menguji dan membuat pendengarnya berfikir. Jauh dari karakter Sufi di dalam cerita ini yang tipikalnya mengasingkan diri dan jauh daripada ahli masyarakat berkasta rendah, Shams tidak disukai penduduk yang lain. Bahkan sewaktu perkenalannya dengan Rumi, Shams dikutuk kerana dilihat memberi pengaruh negatif kepada bangsawan Turki itu.


Peribadi Shams yang meraikan kemanusiaan benar-benar mengingatkan saya pada beberapa kejadian semasa. Sebahagian daripada kita seolah-olah terperangkap dalam rangka kedudukan sosial, tak lain diletakkan oleh kita sendiri. Status yang kita punya seperti wang, agama dan kewargegaraan, kita agungkan sebagai keistimewaan (privileged). Satu superiority yang menghalang pertimbangan manusiawi. Ironi pada kefahaman agama yang menyarankan ihsan, dan penghayatan kewarganegaraan yang menyeru persefahaman dan kedamaian – kita masih lagi terperangkap dalam limbo ketaasuban dan ketakutan. Ketakutan pada keistimewaan yang hilang, mendorong kita tidak menjadi manusiawi dalam fikir, tutur dan tindak. Kita menjadi manusia sombong yang jauh dari kerendahan hati.


How we see God is a direct reflection of how we see ourselves. If God brings to mind mostly fear and blame, it means there is too much fear and blame welled inside us. If we see God as full of love and compassion, so are we.” – The Forty Rules of Love

Banyak lagi bahagian dalam TFRoL yang buat saya mengambil jeda. Kadang mengambil masa untuk menghadam tindakan Shams, kadang sebu menusuk pada baris-baris bacaannya. Pada setiap 40 peraturan cinta yang tersisip ada kebenaran yang begitu akrab sekali dengan fitrah manusia.


Buku ini membawa pembaca kepada dua ruang hubungan manusia pada dua garis masa yang berbeza. Bukanlah semata cinta laki-laki dan perempuan antara Ella dan Aziz, juga persahabatan Shams dan Rumi yang penuh peringatan dan perlu direnungkan. Tentang hidup, tujuan, bahagia, kebebasan mempunyai diri sendiri (owning our self), dan semestinya kelana menuju Tuhan.


Resensi ini jauh sekali dari gambaran pengalaman sebenar membacanya; kepuasan dan hati yang hangat pada setiap helaian. Anda harus membacanya sendiri. Nescaya banyak yang anda akan pelajari tentang cinta: pada Tuhan, manusia dan paling penting, diri sendiri. The Forty Rules of Love ialah bacaan yang sesuai untuk mereka yang sukakan plot tenang dan banyak refleksi tentang hidup.


Selamat dinikmati buku magis ini!


**This article is personal opinion of the writer and does not represent Sekolah Islamiyah as a whole.

 
 
 

Comments


Call
T: +60 17-757 6502

Follow Us

  • Facebook
  • YouTube
  • Instagram

Sekolah Islamiyah

Address
16, 3, Jalan Mesra Niaga,

Taman Mesra, 

43000 Kajang,

Selangor. 

bottom of page