Pengalaman Bulan Pertama bersama Pelajar Kelas Kuntum Sayang
- Akademi Rohingya
- Jun 24, 2021
- 2 min read
Updated: Jun 25, 2021
Oleh: Ainina Sofia

Idea sekolah atau kelas untuk pelajar perempuan telah dibincangkan bersama Cikgu Syahirah sejak tahun lepas. Kertas kerja telah dirangka, namun kami masing-masing dibuai dan disibukkan dengan komitmen hakiki pada waktu itu, oleh itu kelas perempuan ini baru dapat direalisasikan pada bulan April 2021.
Sejujurnya, perasaan saya pada awal menerima tugasan ini sangat mendebarkan. Saya bukan seorang cikgu, dan telah setahun meninggalkan part-time sebagai home tutor sejak PKP dijalankan. Berdebar takut pelajar tak faham apa yang nak disampaikan. Perasaan berdebar saya ini diselamatkan dengan pendekatan yang telah kami persetujui iaitu secara lebih santai. Eh, jangan silap! Pendekatan ini bukan untuk menyelamatkan perasaan saya tetapi sesuai dilakukan kerana pelajar yang akan mengikuti sesi pembelajaran adalah dalam lingkungan awal remaja, berumur 13-16 tahun. Kesemuanya telah datang haid, disebabkan ini mereka tidak ‘dibenarkan’ ke sekolah dan cenderung dikahwinkan pada usia awal remaja dan menjadi mangsa perkahwinan kanak-kanak.
Tujuan kelas ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang pengetahuan am, modul yang telah disusun dan telah dimulakan ialah modul hak asasi kanak-kanak yang merangkumi pendedahan kepada beberapa kategori hak asas. Beberapa aspek yang cuba diterapkan dalam setiap sesi kelas adalah aspek agama dan sains kemanusiaan. Di dalam bulan pertama ini, pelajar telah diperkenalkan dengan terma asas berkaitan hak dan tanggungjawab serta contoh-contohnya. Sebagai contoh dalam kelas minggu lalu, kami cuba mempelajari bagaimana hak dan agama Islam selalu dikaitkan dengan tanggungjawab. “Oh saya pernah dengar perkataan tanggungjawab, tapi apa maksud dia cikgu?”, ini merupakan pertanyaan daripada salah seorang pelajar. Selain pendekatan santai, sebagai koordinator saya cuba untuk berkongsi dengan para pelajar bahawa kelas ini perlu menjadi satu ruang yang selamat untuk mereka berekspresi dan menyatakan perasaan. Setiap kelas dimulakan dengan aktiviti “Berkongsi Rasa” dan pada setiap minggu, perasaan yang dikongsi adalah perasaan “Bahagia”; kenapa? “..sebab hari ini boleh belajar”. Pelajar bahagia kita lagi bahagia!
Ingin juga saya kongsi bahawa pendekatan santai yang saya sebutkan tadi amat penting dalam kelas seperti ini, rata-rata pelajar ini telah meninggalkan sekolah selama 1-2 tahun dan rutin mereka di rumah adalah menjaga adik, memasak, membantu ibu dari pagi sehingga malam. Dengan rutin yang padat ini, pendekatan yang mewajibkan kerja rumah yang banyak apatah lagi diberatkan dengan penilaian yang terlalu ketat adalah tidak sesuai. Sebagai koordinator kelas dan kawan kepada pelajar-pelajar remaja ini, saya cuba seimbangkan pemberian tugas dalam menilai kefahaman setiap pelajar. Penilaian yang diberi lebih bertujuan untuk memastikan konsep hak asas itu difahami dan boleh dikaitkan dengan kehidupan mereka selain menjawab soalan hak apa yang perlu saya dapat dan apa yang boleh saya lakukan jika tidak diberikan hak ini?
Nantikan penulisan saya yang seterusnya, saya akan cuba berkongsi secara terperinci maklum balas pelajar setelah beberapa minggu bercerita tentang hak sambil bercerita apakah yang saya turut belajar daripada mereka semua, pelajar-pelajar perempuan Kuntum Sayang. Terima kasih semua yang mendokong pendidikan alternatif untuk semua kanak-kanak.
**Artikel ialah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili organisasi secara keseluruhan




Comments